Apr 13, 2011

Ikhtilat?? Angkara Siapa??


           Ikhtilat merupakan suatu bentuk pergaulan atau hubungan secara  bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi sama ada di tempat sunyi atau di tempat terbuka. Ia merupakan suatu ciri  pergaulan masyarakat jahiliyyah dan juga berasaskan kepada nilai-nilai dan sistem hidup jahiliyyah. Bentuk pergaulan seperti ini telah ditolak oleh Islam sejak kedatangan Rasulullah SAW yang membawa sistem dan nilai hidup yang dipandu oleh Al-Quran dan Sunnah.



            Apabila disebut frasa pergaulan bebas maka terus terpanah di minda kita bahawa ini semua angkara ibu bapa. Ibu bapa yang tidak tahu mendidik anak-anak mereka agar berkelakuan baik dan tercegah dari perlakuan terkutuk seumpama ini. Teman-teman seperjuangan, jangan salahkan mereka atas kesilapan kita sendiri. Tidak semestinya, anak keluarga yang baik-baik itu akan terhindar dari melakukan      pergaulan bebas, cuba kita telusuri semula kes-kes yang pernah   berlaku, namun begitu juga sebaliknya.

           Kita sebenarnya terlalu bebas, apalagi yang bernama siswa siswi. Kita terlalu jauh dari perhatian ibu bapa kita. Tambahan lagi, jiwa remaja kita yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru yang dianggap biasa. Zina?? Ibarat pergeseran kefahaman seperti dosa masing-masing tanggung, kubur masing-masing jaga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang mula dipandang remeh.



           Penyimpangan seks, iaitu zina sesuatu yang amat keji dan mesti dihindari setiap Muslim sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“…dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu perbuatan yang sangat keji dan satu jalan yang sangat buruk.”

         Dewasa ini, lelaki dan perempuan bergaul tanpa batas,    perintah agama diketepikan, bermula dengan bersentuh-sentuhan tangan lelaki dan perempuan. Tidak kira rakan atau teman tapi mesra, semua berpendapat bahawa ia hanya sesuatu yang biasa. Hati berkata tak apa, kita mesti bersifat terbuka selaras denga peredaran zaman. Natijahnya, Allah murka, hidup sengsara, keberkatan entah ke mana.

          Selaku bakal guru khususnya, kita perlu mendidik diri kita sendiri sebelum kita bermula untuk mendidik orang lain. Oleh itu,   telusurilah agama kita sedalam-dalamnya untuk meninjau bagaimana pergaulan yang amat mudah justeru memberi keberkatan kepada kita.



         Tanyalah diri anda, adakah pergaulan kita sekarang adalah disebabkan oleh ibu bapa kita? Rakan-rakan kita? Guru-guru kita? Atau dari diri kita sendiri? Tepuk dada tanya iman yang kukuh, jangan tanya iman yang rapuh kerana anda akan mendapat jawapan yang malap. 

Wallahu’alam.

Sumber: Nukilan Hamba Allah dan rujukan http://90born.forumotion.com




* Sila klik download untuk mendownload risalah.. 

Download Risalah I-Kent Edisi 14, 2011

 

No comments:

Post a Comment

Syukran Jazilan Sahabat! Semoga perkongsian memberikan info yang bermanfaat kepada anda! Semoga Rahmat Allah Senantiasa Bersama Anda! Insyaallah!

Terhangat