Apr 11, 2011

Couple penyumbang besar kepada pasangan yang ‘terlanjur’?

Perlukah ya?
Sebut pasal couple, pasti ramai tersenyum, topik yang acap kali dibincangkan di mana-mana web dan blog. Pada dahulunya, budaya ini hanya didominasi di kalangan remaja-remaja berumur 18 tahun ke atas, tapi pada hari ini, anda boleh berjumpa mereka yang berumur 11 tahun pun sudah mempraktikkan budaya ini. Amat menakjubkan bukan? Seolah-olah budaya ini berkembang seiring dengan teknologi yang kian pesat membangun.

Apakah pendapat anda?
Entah tidak dapat dipastikan datang dari mana, budaya couple dikatakan tiba untuk memenuhi fitrah naluri cinta untuk mereka yang belum berkahwin. Pasangan ber'couple' akan berusaha untuk mengenal hati budi masing-masing dalam tempoh-tempoh tertentu kononnya adalah persedian dalam menghadapi rumah tangga. Dalam tempoh couple tersebut, mereka bakal mengecapi saat-saat ‘bahagia’nya, maka timbullah perkataan-perkataan ‘mandi tak basah’, ‘tidur tak lena’ dan ‘makan tak kenyang’. Masing-masing sedang berada dalam keadaan angau, saling berhubung tidak kira berjumpa, ber’sms’, ber’yahoomessenger’ atau/dan ber’facebook’ untuk memenuhi perasaan rindu yang terpendam dalam hati masing-masing.

Proses ini berulang-berulang berhari-hari, berminggu-minggu, dan berbulan-bulan lamanya dengan harapan tiba ke jinjang pelamin, namun malangnya kebanyakkannya gagal. Apabila dikatakan tidak serasi, mereka akan putus. Begitulah berlangsungnya budaya ini, couple-putus, couple-putus, couple-putus, sehinggalah dikatakan serasi barulah mereka dikatakan yakin untuk ke jinjang pelamin.

Kisah budaya ini tidak semudah ini sahaja, kebanyakkannya terselit dengan 'peristiwa' yang tidak tersengaja yakni apa yang kita panggil ‘terlanjur’. Agak pelik bukan bagaimana 'peristiwa' sedemikian boleh berlaku secara tidak sengaja sedangkan proses-proses yang dibincangkan tadi memang menjurus kepada 'peristiwa' itu. Apabila berlaku 'peristiwa' itu, pihak yang beruntung sudah tentu salah satu kaum dari pasangan terbabit yang dipanggil lelaki! Kerana mereka dapat ‘merasa’ pelbagai nikmat atas nama ‘cinta’. Tetapi yang bakal merana, menanti kesudahan peristiwa itu tidak lain adalah kaum hawa.


Wahai kaum muslimah, tidak sedarkah kalian, di sebalik anda semua mengejar cinta, para lelaki pula mengejar ‘cinta’ yang sebaliknya. Anda sering berdalih mengatakan pasangan anda berbeza dengan yang lain, baik dan segala pujian buat mereka, tetapi selang berapa lama kemudian, lelaki yang dikatakan berbeza itu akan menjadi tidak berbeza pula. Ketahuilah jika anda kata pasangan anda adalah ‘baik’, yang sebenarnya sebaik-baik insan itu adalah mereka yang tidak terjebak dalam budaya yang menjurus kepada ‘terlanjur’ ini.

Allah telah berfirman:
"Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik"
(Surah an-Nur :26)

Sebagai penutup kata, perihal mengenai buang bayi tidak akan sampai ke penghujung jika kita masih tidak sedar akan pangkal asalnya. Alangkah lebih baik jika kita mencegah daripada merawat. Seringkali kita melontar kekecewaan terhadap mereka yang membuang bayi sedangkan kita sedang diseliputi budaya yang menjurus kepada pembuangan bayi tersebut. Selagi kita duduk mempertahankan budaya ini, selagi itulah berita-berita menyentuh jiwa ini tersebar meluas.

Apa yang telah terjadi? Gambar ehsan dari Google..

Tidak cukupkah lagi dengan komentar para ustaz mahupun ilmuan tempatan yang mengulas mengenai isu ini? Mereka yang mempertahankan couple sering berselindung di atas hujah seorang yang dipanggil 'ustaz' sedangkan jumhur yang lain berkata sebaliknya. Mengapakah tidak mengikut jalan majoriti tetapi mengikut jalan minoriti ibarat bertanyakan hukum merokok daripada 'ustaz' yang merokok? Jangankan bila sudah tertanam benih yang haram baru hendak bertaubat. Nauzubillah… Sesungguhnya kita sudah berada pada penghujung zaman seperti yang diperkatakan nabi.

"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan zina seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.
(Hadis Riwayat Muslim) 

Tidak hairanlah jika zaman mak bapa kita dulu, apabila tersebarnya kisah pasangan yang ‘terlanjur’ berusia dalam lingkungan 18 tahun pun sudah heboh satu kampung. Tetapi pada hari ini, kisah pasangan yang ‘terlanjur’ berusia 13 tahun sudah menjadi lumrah kehidupan, sejajar dengan tersebarnya budaya couple di kalangan mereka.

Dan akhir kata, istilah ‘terlanjur’ barangkali tidak sesuai digunakan kerana ianya seolah-olah suatu pelakuan yang tidak disengajakan. Jika mereka yang ber'couple' bakal melalui proses-proses ke arah 'terlanjur', lebih molek jika digantikan dengan istilah ‘melanjur’. Untuk apa ber’couple’ jika mereka memang sudah mengetahui bakal 'tak sengaja melanjur'? Tepuk dada, tanya iman. Sekian.

p/s: Istilah ‘terlanjur’ dan ‘melanjur’ pada artikel di atas hanyalah retoris kritis semata-mata. Untuk
penggunaan istilah yang tepat, sila rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://salafus-sholih.blogspot.com/2010/09/antara-terlanjur-dan-melanjur.html

No comments:

Post a Comment

Syukran Jazilan Sahabat! Semoga perkongsian memberikan info yang bermanfaat kepada anda! Semoga Rahmat Allah Senantiasa Bersama Anda! Insyaallah!

Terhangat