Jun 23, 2009

Rejab Bulan Penghayatan Ibadah

Sempena menyambut kedatangan bulan Rejab 1430H, marilah kita mulakan langkah untuk meneliti kembali penghayatan ibadah bermula dari sekarang sehinggalah kemuncaknya pada bulan Ramadhan nanti. Ibarat orang yang hendak berkenduri kahwin sedikit demi sedikit persiapan dibuat sebelum tiba kemuncak hari.
Allah hadirkan bulan Rejab ini sebagai tanda peringatan supaya kita bersedia awal dan 'warm up' badan sebelum menjalani latihan jiwa menggempur nafsu pada bulan Ramadhan yang penuh cabaran nanti.
Perlu juga diperingatkan di sini bahawa Allah telah mengangkat junjungan besar kita Rasulullah SAW untuk diisrak mikrajkan pada 27 Rejab. Antara peristiwa yang berlaku dalam kembara itu ialah Rasulullah SAW telah menyaksikan bahawa golongan wanita adalah yang paling ramai menjadi penghuni di neraka.
Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadisnya :
"Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum wanita." (HR. Bukhari)
Sedih dan hiba rasa di hati apabila mendengarnya, namun perkhabaran Nabi SAW adalah benar.
Antara puncanya ialah disebabkan tidak menjaga aurat dan meringankan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Hari ini, lambakan fesyen pakaian dan tudung di pasaran menyebabkan wanita semakin ghairah untuk mencuba. Pelbagai gaya boleh ditampilkan seiring dengan arus kemodenan. Pun begitu, hati semakin gusar kerana pemakaian tudung yang ditampilkan semakin singkat dan tidak melindungi aurat yang sepatutnya. Begitu juga dengan pakaian yang menjadi semakin ketat dan jarang.


Dalam bulan Rejab yang mulia ini, marilah kita menyuluh diri apakah pakaian kita telah menepati ciri-ciri menutup aurat seperti yang difirmankan oleh Allah dan sejauh mana kita tidak terjebak dengan tabarruj jahiliyah. Bukan sahaja kepada kaum hawa, tetapi juga kepada sang adam yang juga telah diperintahkan untuk menutup aurat. Walaupun aurat bagi kaum adam hanyalah dari pusat ke lutut, namun masih ramai lagi yang sukar mematuhi perintah ini.
Akhir kata, marilah kita berdoa semoga kita sentiasa mendapat hidayahNya serta dijauhkan dari fitnah orang-orang yang menipu daya dan melalaikan kita dalam kesungguhan ingin menjadi hamba yang soleh sepertimana firman Allah SWT :


"Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah kami berserah dan kepada Engkaulah kami bertaubat dan kepada Engkaulah tempat kami kembali. Wahai Tuhan kami! Janganlah jadikan kami fitnah (terpengaruh atau tunduk) bagi orang-orang kafir dan ampunilah bagi kami wahai Tuhan, sesungguhnya Engkau maha gagah lagi bijaksana." - Muntahanah : 4-5

Jun 16, 2009

Perjuangan perlu diteruskan...

Tanpa kita sedari, begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Cuti selama 3 minggu bakal berakhir beberapa hari sahaja lagi. Perjuangan menuntut ilmu perlu diteruskan demi mencapai kejayaan yang diimpikan.
Namun begitu, dalam kesibukan menuntut ilmu, jangan sesekali kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa Islam. Walau sesibuk mana pun kita, ia bukanlah alasan untuk kita melupakan tanggungjawab kita dalam mengerjakan "Amar Ma'aruf dan Nahi Munkar". Mungkin kata- kata ini boleh dijadikan renungan buat kita...



Oleh itu sahabat sekalian, dengan bermulanya semester baru tidak lama lagi, marilah kita sama- sama berazam untuk meningkatkan lagi usaha kita dalam meningkatkan syiar Islam di Kampus Kent yang tercinta ini.

Terhangat